{ Code : NVL8-A/B/C/D-XX }
Year Published
A - 2026 | B - 2025 | C - 2024 | D - 2023 and older
Fansuri seorang pelukis muda. Dia selalu melihat dirinya sebagai orang yang gagal. Kerjayanya tidak berkembang dan impiannya untuk memiliki galeri belum tercapai.
Fansuri rasa tambah terbeban bila dia menerima amanah daripada seorang kawan lamanya bernama Adel. Fansuri dan Adel sama-sama belajar seni halus di Texas. Tamat pengajian, mereka membawa haluan sendiri. Fansuri tidak pernah tahu Adel ada masalah mental.
Sebelum kematiannya, Adel telah mengamanahkan semua lukisannya kepada Fansuri untuk dijual. Satu hari, seorang gadis bersama gitar muncul di depan rumah Fansuri. Sejak itu, hidup Fansuri menjadi huru-hara.
Empat tahun berlalu sejak lafaz cerai itu diucap, namun hati Muhammad Daiyan tetap setia menanti Nur Humaira. Di kota Jakarta, dia membina semula hidup – dari hartanah ke dunia hiburan – namun kenangan pada bekas isterinya tidak pernah padam. Mereka terpisah dek sihir yang ingin menjatuhkan kedudukan Daiyan di Brahim Property Selangor, milik ayahnya sendiri.
Humaira pula menghilang tanpa jejak, menyekat segala bentuk komunikasi, dan meninggalkan Daiyan terkapai dalam tanda tanya. Adakah dia benar-benar telah melupakan cinta mereka?
Kepulangan Daiyan ke Malaysia membuka luka lama. Melihat kemesraan Humaira dan sahabat lamanya, Amsyar, Daiyan sekali lagi terbenam dalam cemburu dan salah sangka. Namun tatkala hujan menyatukan mereka semula, kebenaran pun terbongkar — cinta itu rupanya belum mati.
Namun cinta bukan satu-satunya misteri. Penyelewengan wang syarikat, kehilangan fail penting dan bayang sihir yang kembali mengganggu menyukarkan perjalanan mereka. Dalam menyingkap siapa sebenarnya pengkhianat, Daiyan harus berdepan kebenaran yang mengubah segalanya — termasuk tentang dalang yang selama ini disangka lari.
Kudin dan Wafiq – dua sahabat yang disatukan oleh minat dan cita-cita yang sama: mahu mengubah dunia media dengan suara mereka. Dari bangku universiti ke bilik produksi, mereka mengejar impian menerbitkan rancangan bual bicara mereka sendiri, Dr. Cina.
Namun, ketika kisah pertama rancangan itu membawa Kudin kembali ke kampung halamannya di Kota Bharu, bagi memperbetul smeula masa silam yang kelam. Kisah Pak Dolah, Shamsul, fitnah ke atas ibu Kudin dan kematian ayah Kudin – Tengku Amran – mula terbongkar satu per satu. Tragedi lama yang mengandungi dendam, fitnah dan pengorbanan menuntut Kudin untuk memilih, impiannya atau keselamatan orang-orang yang disayanginya.
Dalam dunia di mana kamera merakam kebenaran dan juga kepalsuan, mampukah Kudin mempertahankan apa yang benar? Dan adakah masa lalu mampu dimaafkan sebelum masa depan musnah sama sekali?
Dua Waktu adalah kisah tentang persahabatan, dendam dan keberanian untuk memaafkan – ketika masa lalu dan masa depan bertembung dala satu pilihan yang tak mudah.
…ia hikayat yang akan kalian corakkan sendiri jalan ceritanya sedangkan aku hanya sang penglipur lara tua yang berhikayat tentang sebuah perjuangan dan pengorbanan…
Hatinya pecah, berbolak-balik dengan kedukaan apabila Kaiiara seorang atlet muda yang sangat cemerlang mendadak hilang pedoman apabila terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan seluruh ahli keluarganya. Dalam keadaan demikian, pada suatu hari, dia terjatuh ke dalam sungai. Namun, seperti diberikan peluang kedua sebaik sahaja dia tersedar - dia sudah berada dalam satu dunia yang sangat asing; di sebuah kerajaan bernama Darmenta.
Pertelingkahan, perebutan takhta dan huru-hara Kerajaan Darmenta meresapi pengembaraan Kaiiara untuk pulang ke dunia asal. Tetapi dia terheret dalam permainan dendam suku Marais, iaitu sang kaum penerawang bintang yang menganggap Kaiiara sebagai kiriman ketua agung mereka yang ditunggu selama ini. Kemelut berpanjangan tanpa penghujung. Apakah Kaiiara akan keluar daripada belenggu misteri ini?
Ahmad Shahrul Arqam. Namanya dikenali sebagai pelajar tahun lima jurusan pergigian yang kelihatan tenang, matang, dan terurus. Dia tidak pernah lewat ke klinik, tidak pernah tinggi suara, dan sentiasa menyelesaikan tugas dengan cermat. Tapi di sebalik ketenangan itu, ada sesuatu yang perlahan-lahan mereput dari dalam. Arqam bukan sempurna. Dia cuma terbiasa menahan. Tekanan klinikal, beban expectation keluarga, partner klinik yang pasif-agresif, dan sistem yang lebih menghukum daripada menyembuh — semuanya membentuk ruang hidup yang sunyi. Dan dalam sunyi itulah dia mula hilang arah, sedikit demi sedikit, tanpa siapa perasan.
Segalanya berubah apabila dua insan datang dalam hidupnya — bukan untuk mengisi kekosongan, tapi untuk mengingatkan dia tentang satu perkara: dia tak keseorangan.
Haikal — pesakit walk-in yang sebenarnya pelajar perubatan. Ceria, suka menyakat dan spontan. Tapi di sebalik ketawa itu, Haikal menghidap Major Depressive Disorder. Dia tahu rasa ‘kosong’. Dia tahu apa ertinya berpura-pura gembira supaya tak
menyusahkan orang. Bersama Haikal, Arqam buat pertama kali belajar menerima manusia apa adanya. Dan dalam proses merawat mulut pesakit, dia belajar juga tentang luka-luka yang tak nampak pada X-ray.
Ameera Azwa — staf kaunter separuh masa yang tak pernah menonjol, tapi diam-diam memerhati. Dia tak ada gelaran ‘doktor’, tak ada sijil klinikal. Tapi hatinya cekap membaca orang. Dalam diam, dia tahu Arqam sedang bergelut. Dan dalam diam juga, dia belajar bahawa untuk menyelamatkan seseorang… kadangkala, kita perlu langgar permintaan mereka sendiri.
Puncak tekanan datang sewaktu Arqam dilantik jadi ketua Outreach Paediatrics projek komuniti. Lututnya yang koyak dibiarkan tanpa rawatan kerana mahu kejar requirement. Partner kliniknya, Hakimi, semakin menggila kerana cemburu. Haikal pula mengalami relapse dan cuba melemaskan diri. Dan tak lama selepas itu, buku log Arqam hilang — simbol tiga tahun pengorbanannya lenyap begitu saja. Dalam diam juga, Arqam akhirnya hilang kekuatan.
Jeda Jiwa bukan kisah cinta. Ini bukan kisah lelaki dan perempuan saling jatuh hati dan menyelamatkan antara satu sama lain. Ini kisah tentang seorang lelaki yang hampir hilang diri sendiri kerana tak tahu bila patut berhenti. Ini kisah tentang kawan yang tak sempurna, tapi tak pergi. Tentang kekuatan yang tak bersuara, tapi tetap bertahan.
Ekoran masa silam yang traumatik dan penuh ketakutan, Rina mendapat kekuatan dan harapan melalui dua sahabat baik, Aryan dan Darwisy, kedua-dua jejaka yang cuba menambat hatinya. Kedua-dua mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk Rina. Namun, Rina buntu memilih antara dua teman itu kerana luka silam belum sembuh dan tidak ingin merosakkan persahabatan yang sudah terjalin.
Suatu hari, terjadi suatu peristiwa Rina diserang oleh seorang lelaki aneh di hadapan orang ramai. Peristiwa itu menyebabkan orang-orang sekelilingnya mempertikaikan Rina dan kehidupan peribadinya. Desas-desus tentang diri Rina menjadi buah mulut. Sebuah kisah silam yang gelap memekat, telah terbuka perlahan menyebabkan Rina terhimpit.
Siapakah lelaki misteri itu dan apakah kisah silam yang akan meruntuhkan Rina?
Pengkhianatan oleh Rafeeq, sahabat dalam kerjaya seni lukis yang dipercayai, telah mengubah kehidupan Hafsa.
Kerjaya Hafsa disabotaj tanpa belas ihsan dan kesunyian yang mendadak menuntun Hafsa membuka peti kenangan tentang persahabatan lama dengan seseorang bernama Athif sewaktu remaja di sekolah. Athif, yang hadir tanpa isyarat dan syarat, mendukung cita-cita polos Hafsa ingin menjadi pelukis.
Keakraban mereka semakin menebal kerana kisah hitam dan trauma masing-masing. Namun, kedukaan bermula apabila Athif berpemergian akibat kemalangan jalan raya. Bayang-bayang Athif yang berjejeran di jalan raya mengikuti Hafsa hingga ke alam dewasa, menjadi bekas dan pusaka ingatan yang terbenam dalam kerinduan Hafsa.
Setiap kenangan yang dibuka semula, rupa-rupanya mendedah sejarah Athif yang selama ini Hafsa tidak tahu. Apakah kedukaan dan kesedihan dapat terjawab apabila sejarah Athif terlerai kuncinya?
Kasih hanya mahu melupakan keserabutan dalam hidupnya, melupakan masalah peribadi dan kerjayanya. Namun, rancangannya untuk bercuti di sebuah pulau mengubah segalanya. Dia terdampar di sebuah alam tersembunyi yang dihuni oleh binatang-binatang yang boleh bercakap dan dibelenggu sumpahan kuno.
Dalam perjalanan mencari jalan pulang, Kasih perlu memilih sama ada menghindar masa silam atau menghadapi kebenaran yang mampu menyelamatkan lebih daripada dirinya sendiri.
Apabila berjaya kembali ke dunia realiti, Kasih semakin keliru. Dia bukan berada di tahun semasa, tetapi sebelum di mana tragedi pada tahun tersebut dia kehilangan orang tersayang. Alam tersembunyi dan dunia realitinya saling berkait.
Elly, seorang doktor muda yang sedang mencari ayahnya, Dr. Husin yang telah menghilangkan diri selama 10 tahun. Elly telah bertemu dengan bekas rakan sekolahnya, Wafi yang sekarang bertugas sebagai seorang polis di Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). Sepanjang 10 tahun ketiadaan ayahnya, Elly hanya tinggal seorang diri kerana dia telah kehilangan ibunya ketika masih kecil.
Sepanjang pencarian jejak ayahnya itu, pelbagai rahsia terbongkar satu demi satu sehingga Elly perlu mendapatkan bantuan rakan baiknya, Zana, seorang hacker bagi menjejak Dr. Husin. Bermula dengan penglibatan ayahnya dalam sindiket pensintesisan ubat kepada dadah, dan penglibatan rakan baik ayahnya, Dr. Jake dengan sindiket yang sama, Elly terus-terusan menjadi sasaran pihak yang ingin menculik dan mendapatkan maklumat tentang Dr. Husin daripadanya.
Kesukaran yang dihadapi oleh Elly tidak ternoktah di situ. Rofa, rakan sejawatan Wafi di IPK pula dikambinghitamkan oleh dalang di dalam agensi itu sendiri. Namun, pendedahan demi pendedahan berjaya dibongkarkan yang mengaitkan pemimpin kerajaan yang sama bersekongkol dalam sindiket pensintesisan ubat itu.
Mampukah Elly bertemu semula dengan ayahnya? Atau dia juga bakal kehilangan jejak dibaham pemangsa yang tak pernah tidur?
Sara, seorang pengawal peribadi, merentasi masa lampau dan tertukar tubuh dengan seseorang yang bernama Cempaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila memakai kalung mutiara milik moyangnya.
Dalam usaha Sara mencari jalan ke masa hadapan, dia harus menunaikan misinya, iaitu membawa pulang Puteri Hang Li Po. Sepanjang pengembaraannya, dia menjadi anak angkat laksamana terkenal iaitu Laksamana Zheng He ataupun Cheng Ho. Dia belajar berdiplomasi dengan pegawai-pegawai besar di Tanah Besar China.
Suatu hari, Sara bertemu dengan seorang pegawai aneh di istana sewaktu menghadap maharaja dan mendapati dia juga terperangkap dalam persilangan masa seperti dirinya.
Siapakah pegawai aneh itu dan apakah mereka dapat kembali ke masa hadapan?
Alif selalu jadi yang kedua — dalam keluarga, dalam cinta, dalam hidupnya sendiri.
Sejak kecil, perhatian ibu ayahnya lebih tertumpu kepada adik kesayangan, Arif, yang sakit tenat. Alif sanggup korbankan impiannya demi menjaga adik, tapi semuanya musnah bila Arif pergi dahulu.
Hidup diteruskan, tapi ujian tak pernah berhenti. Cinta hatinya, Naura, dikahwinkan dengan Rizal — pembuli zaman sekolah yang masih berdendam. Bila dituduh mencuri, Alif dihalau oleh keluarganya sendiri.
Terpaksa membawa diri ke Kuala Lumpur, Alif temui harapan baharu di sebuah rumah anak yatim. Tapi tubuhnya pula mula sakit — dan diagnosisnya bukan berita baik. Saat dia cuba bangkit semula, hadir pula adik kembarnya, Aqil, yang membuatkan dia terasa semakin terpinggir.
Alif hanya mahu disayangi. Tapi bila dunia terus menolak, adakah cinta dan keluarga itu masih berbaloi untuk diperjuangkan?
Sayap Luka ialah kisah tentang kasih yang dipinggirkan, tentang luka yang tidak berdarah dan tentang seorang lelaki yang cuba mencari makna wujudnya dia — sebelum dia benar-benar hilang dari dunia yang tidak pernah memilihnya.
Hidup Amalia dipenuhi dengan larangan. Ali, bapa Amalia yang garang dan mengongkong, menjadikan hidup Amalia sekadar berkisar antara kedai runcit, sekolah, sunyi dan impian yang tidak pernah diberi ruang dan peluang.
Ada sesuatu yang tidak kena. Lebam di tubuh bapanya. Dan harta di kilang yang dimomokkan oleh orang-orang kampung. Rahsia yang semakin menyesakkan. Wajah yang kelihatan biasa, tetapi menyimpan niat tersembunyi.
Apabila Irfan, jiran yang tampan dan penyayang serta Munirah, kawan karibnya hadir membawa harapan, Amalia percaya akhirnya dia menemui kasih yang selama ini dirindukan. Namun, dia baru sedar, selama ini dia dibayangi topeng yang penuh ilusi.
Sedikit demi sedikit, kebenaran terbongkar. Tentang kebakaran yang meragut nyawa ibunya.
Tentang rahsia yang membentuk seluruh hidupnya. Dan tentang identiti sebenar dirinya yang selama ini dipadamkan.
Siapakah sebenarnya yang boleh dipercayai? Bapa yang membesarkannya? Lelaki yang disukainya?
Atau kawan karibnya sendiri?
Apabila topeng-topeng akhirnya tersingkap, Amalia harus memilih untuk terus hidup dalam dusta yang menyakitkan atau menerima kebenaran demi sebuah kebebasan.