Intan Suryani pernah beberapa kali koma, tetapi anehnya, dia tetap kembali hidup. Ibunya percaya Intan punya sembilan nyawa, seperti yang muncul dalam mimpinya. Bagi Intan pula, setiap kali koma bukan sekadar detik gelap … dia melihat jasadnya sendiri terbujur kaku. Dia hidup, tapi tidak sepenuhnya kembali sebagai dirinya yang dulu.
Hakim, si buta yang kehilangan keluarga sejak kecil, menyara adiknya tanpa keluh. Matanya mungkin gelap, tapi dia celik dalam cara yang orang biasa tak mampu faham. Dia mampu mendengar suara dari alam yang tak terlihat, suara mereka yang terperangkap antara hidup dan mati.
Pertemuan Intan dan Hakim di sempadan dunia itu bukan kebetulan. Ada sesuatu yang menunggu untuk dirungkai. Rahsia silam, pertalian ghaib dan satu persoalan yang membingungkan. Kenapa mereka tidak dipertemukan lebih awal?
Bila roh tak tenang, dunia ini bukan lagi milik yang hidup sahaja.
Diselamatkan dari neraka perang Bosnia pada 1995, Amar tidak pernah benar-benar bebas. Dibesarkan di Malaysia oleh keluarga Jeneral Dato’ Husam, bayangan silam tetap menghantui. Mimpi-mimpi tentang serigala salji dan sebuah lembah sunyi terus menyesakkan, seolah-olah menyeru Amar kembali ke tanah darah dan salji itu — Bosnia-Herzegovina.
Dua puluh tiga tahun kemudian, kebenaran memanggil. Amar kembali ke Balkan, mencari asal usulnya dan sesuatu yang hilang. Pada masa yang sama, Rania, adik angkatnya yang juga penerbit rancangan travelog, diculik bersama dua kru di Sarajevo. Tanpa ragu, Amar bangkit sebagai penyelamat.
Namun, Sarajevo sedang berdarah semula. Kes penculikan itu bersambung dengan siri pembunuhan kejam yang disiasat pegawai veteran, Hasanovic. Dalam lorong-lorong gelap Balkan, satu rahsia purba menunggu untuk didedahkan.
Ada sejarah yang enggan dikuburkan. Ada luka yang tidak mahu sembuh. Dan ada jiwa yang belum kembali.
Ryu-Watanabe berasa tidak dirahmati; dilahirkan di penjara dan membesar di rumah kebajikan. Sepanjang hidupnya tidak pernah tenteram lalu membawa diri ke Jepun. Dia menyertai satu kumpulan yakuza dan menjadi samurai yang mahir bermain pedang. Jenaya adalah gelanggang permainannya dan penamat permainan itu adalah maut.
Dalam kumpulan itu, dia jatuh cinta dengan Noriko. Kisah mereka dan kumpulan yakuza menjadi tarikan kepada Sabrina untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Dia bersama Murni melancong ke Tokyo untuk mencari Ryu-Watanabe.
Adakah mereka dapat menemui Ryu-Watanabe? Siapa sebenarnya Ryu-Watanabe itu? Adakah dia menyesal menganggotai kumpulan yakuza dan menjadi samurai?
Fenomena Halo telah mengheret lima lelaki dari zaman dan tempat berbeza ke sebuah dunia magis di hujung waktu. Saat tamadun manusia hampir lenyap. Di dunia ini, Saifudin menemui sebuah masjid terakhir yang masih teguh berdiri, dijaga seorang Syeikh misteri. Tombiruo, kini berwajah manusia, jatuh cinta kepada gadis Tur-Kus yang punya rahsia sendiri. Ryu-Watanabe diselamatkan kaum Memalik di kota bawah tanah Derinkuyu. Mikhail pula hidup bersama gerombolan dubuk yang boleh berkata-kata, manakala Carlos menjadi tawanan di Buyuk Bulsinatur, dijaga oleh wanita pendamping yang menyembunyikan niatnya.
Takdir mempertemukan mereka, tetapi tidak semuanya memilih jalan yang sama. Di balik bayang Tuan Turak, makhluk gah yang menjadi boneka kepada satu kuasa jauh lebih kejam, bara perang mula menyala. Apabila Dukhan mula menelan langit, hanya satu persoalan tinggal. Siapa akan bangkit dan siapa akan binasa?
Satu dunia. Lima pahlawan. Satu peperangan terakhir.
Amylia, seorang peguam muda yang berprinsip, menerima kes berisiko tinggi iaitu membela Leopard, lelaki yang dituduh membunuh dan bakal berdepan hukuman mati mandatori. Namun, sesuatu tentang kes ini tidak kena. Gerak hati dan pemerhatian klinikal membuka satu dimensi baharu. Leopard mungkin pesakit mental.
Dengan bantuan Dr. Azlan, seorang psikiatri forensik, Amylia cuba membuktikan Leopard bukan pembunuh waras. Tetapi semakin dekat dengan kebenaran, semakin banyak rintangan yang menghalang. Ancaman misteri mula memburunya. Dia dibayangi rasa takut … diburu sesuatu yang tidak kelihatan.
Dalam tekanan yang menggila, Amylia rebah. Saat dia sedar, dunia telah berubah. Adakah semuanya hanya permainan minda atau ada rahsia yang jauh lebih gelap sedang menantinya?
Dia bukan hantu. Dia bukan dewa. Tetapi, semua orang takut menyebut namanya -- Tombiruo. Dibesarkan jauh di pedalaman rimba Keningau, Ejim hidup tersembunyi di sebalik topeng kayu, memegang wasiat terakhir ayahnya; lindungi hutan dan pertahankannya dengan nyawa.
Namun apabila kerakusan manusia mula menceroboh rimba, Ejim terpaksa keluar dari bayang-bayang. Satu tragedi berdarah telah membuka jalan ke kota dan di sinilah rahsia hidupnya mula terbongkar, satu demi satu.
Dendam. Pengkhianatan. Persaudaraan yang tidak diduga. Ejim harus memilih, terus menjadi penjaga rimba atau manusia sebenar.
Dalam dunia yang kabur antara kebenaran dan mitos, Tombiruo bukan sekadar legenda. Dia bayang terakhir yang memisahkan manusia daripada kemusnahan.
Hutan itu hidup. Dan, Tombiruo tidak akan mati selagi keadilan belum ditegakkan.
ATAS nama cinta... mahligai impian itu dibina. Vila Sepi menjadi mahar kasih Arif terhadap isterinya, Karmila. Namun, tragedi dahsyat memusnahkan kegembiraan yang dikecapi.
Beberapa tahun berlalu... vila yang ditinggalkan dikatakan berhantu. Jikon, seorang pemuda Orang Asli bagai digamit memasuki vila itu. Akhirnya, dia menjadi korban pertama.
Setelah itu, mistik di vila itu tiba-tiba sepi. Masyarakat Orang Asli percaya sesuatu yang berada di situ sedang tidur. Tiada siapa berani mengusik. Jika ia terbangun, maka pembunuhan pasti terjadi lagi.
Ema, seorang wanita masyarakat Orang Asli yang berpendidikan, secara diam-diam berusaha meneroka vila yang menjadi lambang cinta Arif dan Karmila itu. Secara tidak sengaja, dia telah membangunkan sesuatu di dalam vila berkenaan.
Arafat, abang Arif telah menugaskan beberapa orang yang dipercayai untuk membongkar misteri pembunuhan itu. Namun, satu kuasa jahat telah memburu mereka sehingga mengancam nyawa. Tragedi silam berulang kembali!
RAMLEE AWANG MURSHID, sekali lagi meneroka alam mistik di sebalik saspens UNGU KARMILA. Mereka yang jahat sahaja dapat mengalami rahsia di sebalik kisah berdarah di Vila Sepi... hingga tidak sanggup lagi untuk berbuat dosa!