{ Code : NVL7-A/B/C/D-XX }
Year Published
A - 2026 | B - 2025 | C - 2024 | D - 2023 and older
Jika hanya yang kaya dijulang, apa gunanya bakat tanpa peluang? Jika hanya yang berpangkat diangkat, di mana tempat untuk mereka yang berbakat?
Di Lance, kejayaan bukan milik mereka yang berbakat, tetapi yang punya wang, kabel dan pangkat. Amalia, pelajar cemerlang harapan keluarga, kini sekadar penyumbang angka statistik pengangguran negara. Sistem ciptaannya dicuri. Namanya dicemari. Masa depannya hancur sebelum sempat dia melangkah ke industri IT.
Dengan identiti Aithusa, dia menyelam ke laman web gelap dan menghubungi Dragonlord - penggodam paling diburu, ketua Knights of The Round Table. Jika dunia membencinya, dia akan pastikan dunia tergila-gilakan sistemnya.
Namun, benarkah Aithusa perintis yang membuka jalan, atau sekadar pengikut yang tidak memberikan kesan?
Setelah dipecat daripada jawatan pengurus projek, Izzat pulang ke kampung dan menjadi pekebun pisang. Namun begitu, kisah lalu tidak berhenti menghantuinya.
Safa, setiausaha Datuk Kamal dan sahabatnya, Yusnizal datang mencari ke kampung. Masing-masing dengan agenda tersendiri. Seorang ingin mengungkap kebenaran dan seorang mahu mengambus segala kebatilan.
Lari daripada politik pejabat yang memualkan, Izzat tetap tidak menemui ketenangan yang dicari. Politik kebun pisang juga kejam dan sama menyakitkan sehingga menyebabkan Izzat sedar dia perlu bangkit untuk melawan!
Apabila terlalu cuak, marah atau dikuasai emosi kuat, Bayu Biruni akan terbakar. Disebabkan itu, dia mengasingkan diri daripada masyarakat dan memilih menjadi novelis yang suam-suam kuku.
Namun, segalanya berubah apabila penulis legenda, S. Rajawali, meninggalkan wasiat yang menggegarkan industri penerbitan. Bayu diamanahkan untuk menyambung siri ceritanya.
Dalam wasiat itu juga dinyatakan, mana-mana penerbit yang berjaya menandatangani kontrak bersama Bayu, akan mendapat semua hak cipta karya Rajawali, khazanah penerbitan yang sentiasa menjadi rebutan.
Lalu Bayu diburu oleh sekalian penerbit di Malaysia. Waja, anak Rajawali sendiri tidak berpuas hati. Kewujudan sekumpulan insan misteri pula menimbulkan tanda tanya.
Hidup Bayu yang dulu tenang, kini haru-biru.
Perlukah bara legasi ini dinyalakan?
Alya Iskandar menyangka projek menulis biografi Sofea Amani akan menjadi rezeki terbesar dalam kerjayanya. Namun, figura glamor yang dipuja jutaan pengikut itu ternyata hanyalah topeng yang menutup pelbagai penipuan, ancaman dan identiti yang tidak pernah didedahkan.
Semakin Alya menyelami kehidupan Sofea, semakin kuat tekanan daripada Zenith Agency yang mahu mengekalkan imej sempurna kliennya. Pada masa yang sama, sahabatnya, Rizal pula semakin kerap berahsia. Dan Encik Zakuan, lelaki berkuasa di Zenith, seolah-olah mempunyai sebab peribadi memerhati setiap langkahnya.
Terperangkap antara kebenaran yang perlu dibongkar dan rahsia yang cuba disembunyikan, Alya mula sedar dunia influencer bukan sekadar glamor, tetapi juga medan eksploitasi dan manipulasi. Dalam dunia penulisan, kebenaran mampu menghancurkan atau menjadi titik mula kepada kehidupan baharu seseorang.
"Selamat datang ke Ekspres Jupiter."
Tidak kira berapa juta wang yang anda ada, selagi tidak dijemput anda tidak akan dapat menaiki bas ini. Teja sungguh bertuah kerana menerima undangan itu. Undangan yang hadir bersama ribut kejutan yang menyentak, juga mengubah cara dia memandang hidup.
Pada hujung kembaranya, Teja mahu menjadi orang yang mampu berterima kasih kepada Hilzan, dan Ekspres Jupiter.
Dia hanya mahu menjadi lebih kuat!
"Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Ekspres Jupiter."
Pinat tidak pernah membayangkan langkah pertamanya di United Kingdom akan membawa kepada pengalaman yang melangkaui batas logik akal.
Tahun 2004, seorang siswi kalut dari Malaysia tiba di UK hanya untuk diseret oleh takdir ke dalam misi yang penuh tanda tanya. Dalam keadaan serba tidak bersedia, Pinat menyertai sekumpulan sukarelawan. Misi mereka: menguruskan jenazah seorang wanita Melayu tua yang telah lama dipinggirkan oleh komuniti perantau kerana reputasi silamnya.
Perjalanan dari utara ke selatan UK yang sepatutnya lancar, berubah menjadi misteri. Konvoi mereka ditimpa pelbagai insiden aneh yang menggoyahkan kepercayaan terhadap realiti. Rahsia yang terkubur mula menghantui, dosa-dosa lama kembali menghimpit dan kesetiaan semakin teruji.
Mampukah mereka sampai ke destinasi, atau takdir punya rancangan lain?
Hackers Malaya. Masyarakat menganggap mereka sekadar kumpulan anak muda yang punya banyak waktu berpeleseran di dunia maya. Ada yang menyokong. Tidak kurang yang mengecam. Tapi H dan rakan-rakan tidak peduli. Ada misi baru yang menanti. Ada rahsia pempengaruh selebriti yang perlu dibongkar; pendakwah songsang, usahawan penipu, pengarah setan.
Walau dirancang dengan teliti, setiap tindakan Hackers Malaya cekap ditangkas musuh. Target mereka ternyata bukan calang-calang. Antara pengaruh dengan khabar angin, yang mana lebih dipercayai? Tatkala kebenaran disuakan, masih ada rahsia yang tersimpan rapi. Adakah H digula-gulakan rakan-rakan sendiri?
Persoalannya sekarang, “Siapa pula yang patut kita koyakkan lepas ni?”
Kematian demi kematian. Mangsa dibunuh satu per satu dengan kejam. Tubuh mangsa dirobek, jantung, hati dan darah mangsa hilang. Negara dilanda keributan. Inspektor Damia ditugaskan untuk menyiasat dan menangkap pembunuh kejam itu. Malangnya, semua siasatan membawa ke jalan buntu.
Tekanan semakin hebat. Inspektor Damia mula meragui kemampuannya. Kemunculan lelaki misteri membuka lembaran baru. Barulah dia sedar musuhnya bukan pembunuh, biasa tetapi musuh yang datang ratusan tahun dahulu.
Siapakah susuk yang berusia ratusan tahun itu? Kenapa dia memburu mangsanya? Apakah kaitan lelaki misteri itu dengan Inspektor Damia?
Sultan Terakhir Empayar Melaka telah meninggalkan harta karun yang nilainya bIlion. Selama ratusan tahun, harta itu telah dijaga oleh sebuah persatuan rahsia.
Sehinggalah suatu hari rahsia itu terkuak. Beberapa pihak mula mengatur langkah dan strategi bagi membongkarnya.
Ia bermula dengan pencarian lapan bilah keris pusaka yang menjadi petunjuk kepada harta karun itu.
Di sinilah Amin, seorang lelaki yang hidupnya mudah, hanya mahu kerja stabil dan cuba mendapatkan cinta gadis pemalu, terjebak dalam konspirasi dan pengkhianatan yang tidak pernah dia bayangkan.
Yang akhirnya juga membuka rahsia hidupnya yang tidak pernah dia sangkakan.
Tengku Jalil merancang untuk membalas dendam kematian ayahnya. Dia mengajak Tengku Annas belayar dan merancang untuk membunuh abangnya sewaktu di tengah laut. Namun tragedi ribut yang berlaku tanpa disangka-sangka telah menggagalkan niat jahatnya.
Tengku Annas terselamat tetapi koma di alam manusia, manakala Tengku Jalil sesat dan terperangkap di sebuah alam asing dikenali sebagai Kristaland. Dia berkenalan dengan seorang puteri yang menjadi buruan askar diraja. Akibat desakan hidup, Tengku Jalil dan Puteri Airlea mula bekerjasama untuk mencapai matlamat masing-masing.
Namun dalam pengembaraan itu, satu demi satu rahsia terungkai. Semuanya berbalik kepada tragedi di sebalik kematian Tengku Badri dan kaitannya dengan kuasa yang dikenali sebagai Sayap Berlian yang berasal dari Alam Kristaland.
Kedai buku kecil itu satu perhentian yang sederhana, tersembunyi di dalam lorong kecil, tersudut di sebuah kejiranan di pinggir kota Seoul. Di sebalik pintunya, Yeongju dengan senyuman yang jarang pudar menguruskan segala-galanya dengan bantuan Minjun, barista yang mahir dalam seni kopi.
Kedai Buku Hyunam-dong bukan sekadar tempat berteduh bagi tubuh, bahkan sebuah destinasi untuk berlabuh bagi jiwa-jiwa yang memiliki luka dan berasa kehilangan sebahagian daripada diri. Namun, membawa harapan dalam skala berbeza.
Di sini, mereka bersama-sama menemukan semula kilauan budi, empati dan solidariti yang mendamaikan dalam sebuah persahabatan. Buku-buku yang menghubungkan mereka, menyembuhkan luka. Dan perbualan-perbualan tulus penuh makna, mengingatkan bahawa tidak pernah terlewat untuk menamatkan plot lama dan memulakan kisah baharu dari halaman pertama.
Di Kuala Lumpur, dalam hiruk manusia dan hingar teknologi, ada tiga manusia yang mengalami kehilangan berbeza.
Fidel, CEO Sarang Publishing House, merasakan pahitnya kehilangan isteri dan anak dalam keadaan yang tidak termaafkan. Zara, novelis bertaraf superstar, terjebak dalam skandal plagiarisme yang membenam kariernya. Di sisi lain, Helmi, seorang lelaki sederhana, mengalami penderitaan jiwa yang mengubah norma hidupnya akibat kehilangan seluruh keluarga dalam sekelip mata.
Di kota itu mereka bertemu, saling berkongsi kisah dan memberi semangat walaupun masing-masing memiliki luka. Bersama-sama, mereka mencari hikmah bagi setiap kepedihan, di antara lembaran naskhah hidup yang diterbitkan oleh Tuhan.
Pengeboman pejabat Kedutaan Malaysia di Manila menggegarkan banyak hati. Serangan kumpulan pengganas yang digelar Masud Army Group (MAG) itu mengorbankan banyak nyawa, termasuk rakyat Malaysia.
Kata Sheikh Masud, Malaysia perlu menderita! Ada dendam lama belum terlerai. Jika tidak disekat, langkah MAG akan sampai ke Malaysia.
Selepas mengganas di Manila, MAG kembali berkampung di Lembah Maut, lokasi persembunyian kumpulan pengganas yang sukar ditembusi. Kitango, sebuah perkampungan yang terletak di Lembah Maut menjadi medan pertembungan antara baik dan jahat. Membunuh atau dibunuh. Namun bandar atau hutan bukan halangan buat Skuad Taring Nusa.
Bumi dipijak, langit dijunjung. Arah sekali, hasilnya pasti atau mati!
Di Universiti VerseMedia, para pelajar bersorak teruja menyambut inovasi terbaru universiti itu — sebuah permainan AR yang menghubungkan dunia maya dengan dunia sebenar. Masing-masing giat bertanding sesama sendiri demi mendapatkan ranking tertinggi, kecuali Ashraf Anwar.
Selaku seorang pemain e-Sports, bagi Ashraf, dunia AR yang terlalu sempurna itu amat mencurigakan. Lebih-lebih lagi apabila muncul satu artikel tentang kematian pelajar yang menimbulkan keresahan orang ramai. Pihak yang bertanggungjawab pantas bertindak memadam artikel itu dan memberi jaminan bahawa permainan AR mereka masih selamat.
Namun, itu tetap tidak meyakinkan Ashraf.
Tidak mahu nyawa menjadi galang ganti untuk keseronokan duniawi, dia memulakan siasatan. Mahu mencari cela dalam dunia maya yang dikhabarkan sempurna!
Makanan – keperluan asas yang pernah mengancam dunia akibat dilanda bah besar.
Di Malaysia pascabencana, sebuah kerajaan baharu muncul: The Klang, berpusat di Lembah Klang – tamadun terakhir di negara itu. Krisis bekalan makanan mencetuskan kerjasama antara kerajaan dengan syarikat-syarikat mega bagi menyelamatkan keadaan. Mereka berjaya, tetapi kejayaan ini ada harganya.
Fuad Mokhtar, jurutera pertanian syarikat GenoFarm punya agenda tersendiri. Pernah menjadi anak pelarian iklim, hidupnya berubah dengan biasiswa daripada Datuk Ridhwan. Namun, dia sendiri menentang GenoFarm terutamanya paten benih mereka. Dalam diam, dia mencipta benih alternatif yang jauh lebih murah dengan satu tujuan – merosakkan sistem itu dari dalam.
Satu tragedi menimpa. Pendirian Fuad mula goyah. Rahsia yang terbongkar membuka matanya tentang ancaman lebih dahsyat.
Tahun 2097, masa semakin suntuk. Fuad harus segera bertindak kerana seperti bah, sekelip mata semuanya boleh musnah.