{ Code : NVL#-A/B/C/D-XX }
Year Published
A - 2026 | B - 2025 | C - 2024 | D - 2023 and older
Jika hanya yang kaya dijulang, apa gunanya bakat tanpa peluang? Jika hanya yang berpangkat diangkat, di mana tempat untuk mereka yang berbakat?
Di Lance, kejayaan bukan milik mereka yang berbakat, tetapi yang punya wang, kabel dan pangkat. Amalia, pelajar cemerlang harapan keluarga, kini sekadar penyumbang angka statistik pengangguran negara. Sistem ciptaannya dicuri. Namanya dicemari. Masa depannya hancur sebelum sempat dia melangkah ke industri IT.
Dengan identiti Aithusa, dia menyelam ke laman web gelap dan menghubungi Dragonlord - penggodam paling diburu, ketua Knights of The Round Table. Jika dunia membencinya, dia akan pastikan dunia tergila-gilakan sistemnya.
Namun, benarkah Aithusa perintis yang membuka jalan, atau sekadar pengikut yang tidak memberikan kesan?
Setelah dipecat daripada jawatan pengurus projek, Izzat pulang ke kampung dan menjadi pekebun pisang. Namun begitu, kisah lalu tidak berhenti menghantuinya.
Safa, setiausaha Datuk Kamal dan sahabatnya, Yusnizal datang mencari ke kampung. Masing-masing dengan agenda tersendiri. Seorang ingin mengungkap kebenaran dan seorang mahu mengambus segala kebatilan.
Lari daripada politik pejabat yang memualkan, Izzat tetap tidak menemui ketenangan yang dicari. Politik kebun pisang juga kejam dan sama menyakitkan sehingga menyebabkan Izzat sedar dia perlu bangkit untuk melawan!
Apabila terlalu cuak, marah atau dikuasai emosi kuat, Bayu Biruni akan terbakar. Disebabkan itu, dia mengasingkan diri daripada masyarakat dan memilih menjadi novelis yang suam-suam kuku.
Namun, segalanya berubah apabila penulis legenda, S. Rajawali, meninggalkan wasiat yang menggegarkan industri penerbitan. Bayu diamanahkan untuk menyambung siri ceritanya.
Dalam wasiat itu juga dinyatakan, mana-mana penerbit yang berjaya menandatangani kontrak bersama Bayu, akan mendapat semua hak cipta karya Rajawali, khazanah penerbitan yang sentiasa menjadi rebutan.
Lalu Bayu diburu oleh sekalian penerbit di Malaysia. Waja, anak Rajawali sendiri tidak berpuas hati. Kewujudan sekumpulan insan misteri pula menimbulkan tanda tanya.
Hidup Bayu yang dulu tenang, kini haru-biru.
Perlukah bara legasi ini dinyalakan?
Kementerian Pembangunan Nusantara selaku agensi perlaksana telah bekerja keras mengatasi masalah keretakan pada kondominium di kampung Puteri Warisan tetapi masih berlaku. Pak Dalib, samseng kampung ini menuntut wang perlindungan daripada kontraktor utama, Dato’ Leong Kok Chee namun gagal. Kerana penolakan yang dianggap memalukan dan menjatuhkan maruah Pak Dalib, dia dan konco-konconya ingin membalas dendam dengan menyeru Rodensia, makhluk belaan Pak Dalib yang misteri.
Namun, Rodensia meminta habuan yang lebih mengerikan, iaitu bayi dalam kandungan Shima, satu-satunya anak perempuan Pak Dalib. Kelicikan Rodensia menyebabkan Pak Dalib terpaksa menaruh nyawanya sendiri. Apa yang akan terjadi di Puteri Warisan? Nyawa siapa akan menjadi makanan untuk Rodensia?
Fansuri seorang pelukis muda. Dia selalu melihat dirinya sebagai orang yang gagal. Kerjayanya tidak berkembang dan impiannya untuk memiliki galeri belum tercapai.
Fansuri rasa tambah terbeban bila dia menerima amanah daripada seorang kawan lamanya bernama Adel. Fansuri dan Adel sama-sama belajar seni halus di Texas. Tamat pengajian, mereka membawa haluan sendiri. Fansuri tidak pernah tahu Adel ada masalah mental.
Sebelum kematiannya, Adel telah mengamanahkan semua lukisannya kepada Fansuri untuk dijual. Satu hari, seorang gadis bersama gitar muncul di depan rumah Fansuri. Sejak itu, hidup Fansuri menjadi huru-hara.
Kisah ini, secara ringkasnya, tentang si pelik bertemu dengan seorang lagi si pelik.
Si pelik yang seorang lagi itu aku.
***
Yunjae dilahirkan dengan keadaan otak yang dipanggil Aleksitimia—yang menyukarkan dia merasai apa-apa emosi seperti takut dan marah. Kehilangan neuron berbentuk badam dalam otak ini menjadikan dia berbeza, hingga tiada sesiapa mahu mendekatinya.Biarpun begitu, Yunjae tetap membesar dengan tenang dan gembira bersama keluarga kecilnya.
Sehari sebelum ulang tahun ke-16 Yunjae, segalanya berubah. Sebuah tragedi serangan rambang di jalanan telah memusnahkan hidupnya. Meninggalkannya sendirian.
Dalam pergelutan menerima kehilangan, Yunjae menjadi penyendiri. Di sekolah pula, Yunjae menjadi sasaran Gon—seorang pelajar baru yang panas baran dan suka membuli.
"Tengok aku! Kalau tak, aku akan hancurkan semuanya. Faham?"
"Aku tetap tak boleh bagi reaksi yang kau nak.”
Meskipun perwatakan si pembuli dan si dibuli luarannya kelihatan berbeza, perlahan-lahan mereka menjumpai titik temu. Gon kagum dengan ketenangan Yunjae yang luar biasa. Yunjae pula, buat pertama kali, merasakan keinginan untuk memahami emosi manusia—melalui Gon.
Daripada rasa ingin tahu, mereka berkawan. Sesuatu dalam diri Yunjae berubah. Dia mula membuka hatinya kepada orang lain—termasuk seorang gadis yang mencuri perhatiannya di sekolah.
Ketika Gon terjebak dalam kancah berbahaya, beranikah Yunjae melangkah keluar lebih jauh dari ruang selesanya untuk menyelamatkan sahabatnya itu?
…ia hikayat yang akan kalian corakkan sendiri jalan ceritanya sedangkan aku hanya sang penglipur lara tua yang berhikayat tentang sebuah perjuangan dan pengorbanan…
Hatinya pecah, berbolak-balik dengan kedukaan apabila Kaiiara seorang atlet muda yang sangat cemerlang mendadak hilang pedoman apabila terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan seluruh ahli keluarganya. Dalam keadaan demikian, pada suatu hari, dia terjatuh ke dalam sungai. Namun, seperti diberikan peluang kedua sebaik sahaja dia tersedar - dia sudah berada dalam satu dunia yang sangat asing; di sebuah kerajaan bernama Darmenta.
Pertelingkahan, perebutan takhta dan huru-hara Kerajaan Darmenta meresapi pengembaraan Kaiiara untuk pulang ke dunia asal. Tetapi dia terheret dalam permainan dendam suku Marais, iaitu sang kaum penerawang bintang yang menganggap Kaiiara sebagai kiriman ketua agung mereka yang ditunggu selama ini. Kemelut berpanjangan tanpa penghujung. Apakah Kaiiara akan keluar daripada belenggu misteri ini?
Ekoran masa silam yang traumatik dan penuh ketakutan, Rina mendapat kekuatan dan harapan melalui dua sahabat baik, Aryan dan Darwisy, kedua-dua jejaka yang cuba menambat hatinya. Kedua-dua mereka sanggup berkorban apa sahaja untuk Rina. Namun, Rina buntu memilih antara dua teman itu kerana luka silam belum sembuh dan tidak ingin merosakkan persahabatan yang sudah terjalin.
Suatu hari, terjadi suatu peristiwa Rina diserang oleh seorang lelaki aneh di hadapan orang ramai. Peristiwa itu menyebabkan orang-orang sekelilingnya mempertikaikan Rina dan kehidupan peribadinya. Desas-desus tentang diri Rina menjadi buah mulut. Sebuah kisah silam yang gelap memekat, telah terbuka perlahan menyebabkan Rina terhimpit.
Siapakah lelaki misteri itu dan apakah kisah silam yang akan meruntuhkan Rina?
Pengkhianatan oleh Rafeeq, sahabat dalam kerjaya seni lukis yang dipercayai, telah mengubah kehidupan Hafsa.
Kerjaya Hafsa disabotaj tanpa belas ihsan dan kesunyian yang mendadak menuntun Hafsa membuka peti kenangan tentang persahabatan lama dengan seseorang bernama Athif sewaktu remaja di sekolah. Athif, yang hadir tanpa isyarat dan syarat, mendukung cita-cita polos Hafsa ingin menjadi pelukis.
Keakraban mereka semakin menebal kerana kisah hitam dan trauma masing-masing. Namun, kedukaan bermula apabila Athif berpemergian akibat kemalangan jalan raya. Bayang-bayang Athif yang berjejeran di jalan raya mengikuti Hafsa hingga ke alam dewasa, menjadi bekas dan pusaka ingatan yang terbenam dalam kerinduan Hafsa.
Setiap kenangan yang dibuka semula, rupa-rupanya mendedah sejarah Athif yang selama ini Hafsa tidak tahu. Apakah kedukaan dan kesedihan dapat terjawab apabila sejarah Athif terlerai kuncinya?
Elly, seorang doktor muda yang sedang mencari ayahnya, Dr. Husin yang telah menghilangkan diri selama 10 tahun. Elly telah bertemu dengan bekas rakan sekolahnya, Wafi yang sekarang bertugas sebagai seorang polis di Jabatan Siasatan Jenayah (CID) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK). Sepanjang 10 tahun ketiadaan ayahnya, Elly hanya tinggal seorang diri kerana dia telah kehilangan ibunya ketika masih kecil.
Sepanjang pencarian jejak ayahnya itu, pelbagai rahsia terbongkar satu demi satu sehingga Elly perlu mendapatkan bantuan rakan baiknya, Zana, seorang hacker bagi menjejak Dr. Husin. Bermula dengan penglibatan ayahnya dalam sindiket pensintesisan ubat kepada dadah, dan penglibatan rakan baik ayahnya, Dr. Jake dengan sindiket yang sama, Elly terus-terusan menjadi sasaran pihak yang ingin menculik dan mendapatkan maklumat tentang Dr. Husin daripadanya.
Kesukaran yang dihadapi oleh Elly tidak ternoktah di situ. Rofa, rakan sejawatan Wafi di IPK pula dikambinghitamkan oleh dalang di dalam agensi itu sendiri. Namun, pendedahan demi pendedahan berjaya dibongkarkan yang mengaitkan pemimpin kerajaan yang sama bersekongkol dalam sindiket pensintesisan ubat itu.
Mampukah Elly bertemu semula dengan ayahnya? Atau dia juga bakal kehilangan jejak dibaham pemangsa yang tak pernah tidur?
Sara, seorang pengawal peribadi, merentasi masa lampau dan tertukar tubuh dengan seseorang yang bernama Cempaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka apabila memakai kalung mutiara milik moyangnya.
Dalam usaha Sara mencari jalan ke masa hadapan, dia harus menunaikan misinya, iaitu membawa pulang Puteri Hang Li Po. Sepanjang pengembaraannya, dia menjadi anak angkat laksamana terkenal iaitu Laksamana Zheng He ataupun Cheng Ho. Dia belajar berdiplomasi dengan pegawai-pegawai besar di Tanah Besar China.
Suatu hari, Sara bertemu dengan seorang pegawai aneh di istana sewaktu menghadap maharaja dan mendapati dia juga terperangkap dalam persilangan masa seperti dirinya.
Siapakah pegawai aneh itu dan apakah mereka dapat kembali ke masa hadapan?